Selamat Datang & Salam Perkenalan

Tuesday 5 April 2016

Pengenalan Diri

Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Sebelum baca blognya apa kata kenal dahulu serba sedikit mengenai pemilik blog ini. Orangnya biasa-biasa sahaja: Tak terlalu tinggi dan terlalu rendah, badannya juga tidaklah begitu besar, apabila berbicara dia suka berjenaka.
Nama diberi Nor Azizah bt Mohd Thani. Genap umur 22 tahun pada 14 Februari yang lalu. Tempat lahirnya di negeri tumpah darahnya, di Hospital Teluk Intan Perak. Beliau merupakan puteri bongsu dari empat orang adik beradik. Pemilik blog ini memulakan pendidikannya di Tadika Kemas Kg Rahmat Changkat Sulaiman, Sungkai, Perak. Ketika itu beliau berusia 4 tahun. Setelah tiga tahun mengenal huruf dan nombor di situ beliau memulakan pelajaran di Sekolah Rendah Changkat Sulaiman, Sungkai Perak pula selama 6 tahun sehingga tamat sekolah rendah. Pada tahun 2007 beliau memulakan pelajaran ke peringkat yang seterusnya iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai, Perak. Di sekolah inilah beliau menghabiskan zaman remajanya sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menara gading. Setelah tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), beliau mendapat peluang melanjutkan pelajarannya ke universiti kesukaannya iaitu, Universiti Sains Malaysia (USM). Kini, beliau merupakan pelajar tahun kedua di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), bermajorkan Sastera dan berminorkan Psikologi. ~Demikian sahaja coretan ringkas mengenai pemiik blog ini~
Diharapkan saudara/saudari gembira dan senang membaca kiriman saya di blog ini. Selain memuatnaik serba sedikit mengenai A. Samad Said dan karyanya, Sungai Mengalir Lesu, saya juga ada memuatnaik hasil karya saya seperti puisi dan cerpen.  Sepuluh jari disusun jika ada maklumat atau tulisan saya yang tersalah di blog ini.  Pastinya saya berharap agar blog ini memberi manfaat kepada anda semua. Assalammualaikum dan selamat membaca.. XOXO

Sasterawan Negara, A. Samad Said

Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said atau nama sebenarnya Abdul Samad bin Muhammad Said merupakan seorang sasterawan tanah air yang banyak terlibat dalam bidang penulisan kreatif. Dalam bidang penulisan, beliau lebih dikenali dengan nama penanya seperti A. Samad Said, Hilmy Isa, Jamil Kelana, Manja,  Mesra, dan Shamsir. Beliau dilahirkan pada  9 April 1935* di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa berumur enam bulan, A.Samad   Said   dibawa   oleh   keluarganya   ke   Singapura.
Datuk A.   Samad   Said   memulakan pendidikan formalnya di Sekolah Melayu  Kota Raja (1940-1946) dan Sekolah Inggeris di Monk’s Hill School. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke Victoria Institution. Beliau terpaksa pindah pula ke Beatty Secondary School kerana terlebih usia. Akhirnya, beliau memperolehi sijil Senior Cambridge pada tahun 1956.

"Sungai Mengalir Lesu", bukan sekadar tulisan biasa

Berdasarkan pengalaman nyata dari Singapura pada zaman perang pendudukan Jepun lahirlah sebuah novel realisme sosial yang merakamkan nasib sekelompok manusia yang diberi judul Sungai Mengalir Lesu. Novel ini merupakan karya pengarang besar sasterawan A Samad Said (mesra dipanggil Pak Samad). Sungai Mengalir Lesu, merupakan novel kedua Pak Samad. Novel ini lahir selepas karya sulungnya,  Salina (1961). Seiringan dengan tajuk, dari latar jambatan dan sungai di kota Singa ini terbentang sebuah kehidupan manusia disekitar kawasan itu.  Sungai Mengalir Lesu setebal 153 halaman padat dengan watak-watak berbilang bangsa dan agama, berbeza usia, gender dan tempat. Tetapi semua perbezaan itu dipertemukan pengarang dalam novel ini menerusi jalinan persamaan nasib, iaitu korban peperangan!
Justeru itu, jambatan hijau dan sungai menjadi elemen penting yang menghubungankan watak-watak dalam novel ini. Permasalahan yang diketengahkan pengarang ternyata memberi impak yang berbeza dengan novel lain pada waktu itu. Namun begitu, rasa kemanusiaan itu tetap sama. Pengarang menjelaskan bahawa perang mengakibatkan masalah bekalan makanan dan kebuluran. Dalam keadaan yang tegang dang terdesak pada waktu itu, sungai adalah amat penting dan menjadi sumber rezeki.
Penciptaan novel Sungai Mengalir Lesu ini terhasil dengan gabungan sensitiviti dan kreativiti A. Samad Said. Idea-idea beserta pengalaman hidupnya yang lampau semasa tinggal di Singapura banyak menjadi inspirasi untuk menyusun jalan cerita ini.

Bibliografi

A. Samad Said. (1975). Sungai Mengalir Lesu. Singapura: Pustaka Nasional.
A. Samad Said. (1979). Dari Salina Ke Langit Petang Proses Mencipta Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.
Awang Abdullah. (2001). Biografi Sasterawan Negara A. Samad Said. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jendela Itu

Jendela usang itu ku singkap,
Cahaya mentari meluru masuk,
Lagaknya seperti ingin berlawan,
Siapa yang lagi pantas menerangi ruangan kecil ini,
Sekali lagi aku berteleku disitu,
Melihat hamparan hijau,
Yang tidak berpenghujung,
Ku cuba mencari penghujungnya,
Namun sayang memang tidak kelihatan,
Segalanya misteri di hujung sana,
Apakah rupanya cahaya mentari di hujung itu?
Atau hanya kusamnya gelap bakal jadi peneman?

Nukilanku,
Nor Azizah Mohd Thani
Mac 2016

Jumlah Pengunjung