Nama
Penulis: Nor Azizah binti Mohd Thani
Entah kenapa malam
ini Emak seperti tidak rasa tenang. Ada sahaja kesalahan yang dilakukannya dari
tadi. Baru sebentar tadi, Emak tersalah membancuh air untuk Pak Sani. Sedangkan
bukan Emak tidak biasa Pak Sani yang merupakan pelanggan tetap gerai ini pasti
akan memesan kopi o. Minuman itu sememangnya minuman kegemarannya seperti
orang-orang tua yang lain juga.
Setelah siap mengemas
meja dan mengangkat pinggan dan cawan di hujung gerai, Emak ke belakang gerai
sebentar. Sementara Along ada di gerai bolehlah Emak duduk sebentar. Baru
sekarang terasa lenguh dari pangkal paha hingga tapak kaki kerana tidak
berkesempatan duduk dari tadi. Biasanya apabila sudah lepas waktu Isya’ hingga
tengah malam ramai pelanggan yang datang ke gerai. Rata-ratanya pelanggan yang
datang adalah orang-orang yang baru pulang dari masjid kampung mereka. Antara
pelanggan tetap gerai ini adalah Pak Sani, Tok Imam dan Pak Usop.
Emak duduk di atas
kerusi yang memang berada di belakang gerai. Dia bersandar di dinding gerai,
melepaskan lelah di situ. Air muka Emak seperti tersirat 1001 keresahan yang
Emak sendiri tidak tahu mengapa. Sejak dua tiga hari ini ada sahaja yang Emak
tersalah buat. Semalam Emak terlupa membuat Mee Goreng yang dipesan Pak Usop,
hari ini Emak tersalah membancuh air untuk Pak Sani pula. Along juga ada
menegur Emak sering kelihatan termenung kebelakangan ini. Emak juga tidak tahu
apa yang difikirnya, yang pasti Emak rasa tidak tenang seperti ada sesuatu yang
buruk akan berlaku.
Dua minggu yang lepas
Emak ada bermimpi gigi depannya tercabut. Dalam mimpi itu dia terjatuh di depan
pintu dan gigi depannya tercabut kerana terkena bucu dinding. Kata orang jika
bermimpi gigi tercabut maksudnya ada orang nak meninggal dunia. Nauzzubillah…
mengucap panjang Emak apabila memikirkan tentang hal itu.
“Emak“. Panggil Along
dari arah depan gerai. Sesaat kemudian muncul Along sambil memegang dua buah
gelas di tangannya.
“Laaa kat sini rupanya.
Emak buat apa seorang diri kat luar ni?” tanya Along lagi.
“Tak ada apa. Saja nak
duduk. Rasa lenguh kaki ni dari tadi tak dapat duduk. Kenapa panggil Mak? Ada
orang pesan apa-apa ke?” Emak pantas
menyembunyikan keresahannya dari Along, takut-takut kalau Along perasan
akan keresahan di hatinya.
“Ada orang nak Mee
Goreng. Tapi tak apa lah. Along saja lah yang masak. Mak rehat ye. Mak nak
minum apa-apa? Along bancuhkan.”
“Ha boleh juga.
Bancuhkan Mak air kopi Kacip Fatimah tu Long. Dah lama rasanya Mak tak rasa air
kau bancuh Long.” Emak sengaja berseloroh. Bagus juga idea Along itu. Kaki Emak
juga masih terasa lenguh dan dia juga mahu duduk berehat di situ lagi. Along
pun masuk semula ke dalam gerai meninggalkan Emak. “Kasihan Emak. Pasti Emak letih
dari tadi berdiri. Malam ini pun pelanggan agak ramai dari semalam, walaupun
langit gelap seperti mahu hujan saja.” Bicara Along dalam hati.
Emak terpandang Omey
yang tiba-tiba sahaja muncul dari arah semak belakang gerai. Pastinya kucing
kesayangan Angah itu baru pulang dari rumah Abang Nasrun. Di sana, Omey punya
banyak kawan. Anak-anak Abang Nasrun juga suka sangat pada kucing, tidak
hairanlah hampir 20 ekor kucing mereka pelihara. Terpandang Omey Emak baru
teringat pada Angah. Rasanya dari tadi tidak kelihatan kelibat Angah. Kemana
sajalah anak terunanya itu berjalan agaknya. Tiap malam pasti dia akan keluar.
Apabila ditanya, mahu berjumpa kawan katanya. Pulangnya hanya bila jam sudah
menginjak dua hingga tiga pagi. Sememangnya antara tiga orang anak Cik Ani dan
Pak Rahim ini, Angah yang paling nakal dan sukar dikawal. Namun begitu, Angah
amat rapat dengan Emak berbanding dengan Abahnya, Pak Rahim. Mungkin kerana
Emak sering membela Angah apabila dia melakukan kesalahan. “Hmm, Angah, Angah…
bilalah kau nak berubah. Lagi dua hari nak masuk 21 tahun dah tapi perangai
masih lagi macam budak-budak.” Emak mengomel perlahan, hampir berbisik. Hanya
Emak sahaja yang mendengarnya. Emak teringat peristiwa tiga hari lepas.
“Anak kau ni memang kurang ajar tahu tak!” tempelak Mak Cik Zah.
“Tak habis-habis nak buat hal. Cari gaduh dengan budak ini lah, budak itu lah.
Semua orang nak di ajaknya bertumbuk. Nak jadi samseng sangat agaknya anak kau
ni Ani. Kau tak reti ajar anak ke hah? Kalau tak reti biar aku tolong ajarkan!”
Sinis sahaja bahasa Mak Cik Zah. Lantang sungguh suaranya sehingga Abang Nasrun
yang sedang berehat-rehat di rumahnya pun boleh dengar. Sekejap sahaja sudah
ada beberapa orang yang lalu lalang di kawasan gerai itu berhenti untuk melihat
apa yang terjadi.
“Memanglah anak aku ni
jahat Zah. Selalu buat hal. Tapi kau pasti ke anak aku yang tumbuk anak kau
dulu? Ada kau siasat habis-habis sebelum kau datang serang aku macam ini?”
Suara Emak masih rendah tetapi keras. Bukan sifat Emak suka menyerang-nyerang
orang dan bertempik tak tentu hala di khalayak ramai seperti ini. Kalau boleh
Emak mahu mengajak Mak Cik Zah berbincang secara elok, bukan dengan cara
sebegini. Terasa menyirap juga darah Emak apabila Mak Cik Zah memperlekehkan
kemampuannya mendidik anak-anaknya sendiri.
“Habis tu kau nak kata
anak aku yang mula dulu? Kalau tak tanya pun dah tahu lah siapa yang mulakan
dulu. Anak kau tu, satu kampung dah tahu perangai samseng dia macam mana. Pergi
mana-mana pun mesti buat hal. Sampai nama kampung kita kita ni pun dah busuk
sebab perangai anak kau tu. Kalau dia nak usik anak orang lain tak apa, ini
anak aku yang di nak cari pasal. Memang nak mampus agaknya budak ni!” Mak Cik
Zah meninggi suara lagi.
“Mulut kau tu berlapik
sikit Zah. Kau jangan nak kurang ajar kat rumah aku. Takkan lah disebabkan
mengata nama bapa je anak aku nak tumbuk anak kau. Lagipun bila masa pula anak
aku suka melepak kat sempang depan kampung tu? Anak kau memanglah suka melepak
kat situ.” Balas Emak yang mula rasa seperti mahu meletop sahaja dengan mulut
Mak Cik Zah yang memang terkenal dengan mulut celuparnya itu.
“Kau laki bini mana nak
tahu apa yang si Syafiq tu buat kat luar. Siang malam sibuk kat gerai ni. Yang
laki kau tu, sibuk dengan nombor ekornya, tak pun sibuk cari daun ketum. Hah,
mana ada masa nak didik anak jadi manusia macam tu. Dia pergi mana, buat apa
korang laki bini bukan tahu.” Tempelak Mak Cik Zah lagi.
“Zah!” Jerkah Abah yang
tiba-tiba muncul dari dalam rumah. “Kalau kau datang setakat nak mengadu hal
anak aku tumbuk anak kau, tak apa. Aku minta maaf kalau anak aku yang salah.
Tapi kalau kau datang sini nak mengajar kami laki bini macam mana nak jadi mak
bapak. Baik kau berambus sebelum aku pula yang tumbuk muka kau! Aku nak jual
ketum ke, main nombor ke itu hal aku. Aku tak minta duit kau. Kau berambus
sekarang Zah!” Abah betul-betul berada depan Mak Cik Zah dengan mata yang merah
dan timbul urat-urat kecil di dahinya menahan marah. Abang Nasrun yang berada
berhampiran Abah terpaksa menahan Abah dari terus dekat dengan Mak Cik Zah,
takut-takut kalau Abah hilang kawalan dan benar-benar menumbuk Mak Cik Zah.
Orang sedang marah bukannya tahu buat penghitungan normal. Sama sahaja dengan
perangai Mak Cik Zah itu.
“Oh kau nak tumbuk aku?
Kau ingat aku takut?! Hah tumbuk lah, tumbuk lah!” Mak Cik Zah tidak mahu
kalah. Sengaja dia mengapi-apikan kemarahan Abah.
“Kurang Ajar!” Abah
sudah menangkat tinggi tangan kanannya sambil mengepal penumbuk. Dia mahu benar
menumbuk sampai hancur mulut bisa Mak Cik Zah.
“Ya Allah. Bawa mengucap Rahim! Jangan kau layan si Zah ni. Istighfar
banyak-banyak.” Abang Nasrun menahan Abah sambil memeluknya dan menolakknya ke
belakang. Emak juga turut menahan Abah. Tahu benar panas baran Abah bagaimana.
“Kau pun satu Zah. Suka
sangat menyerang-nyerang macam ni. Tak malu ke kat orang? Kalau betul pun
budak-budak tu bergaduh, kita yang tua ni patut betulkan kesilapan budak-budak
tu. Bukan kita pun buat perangai macam budak-budak, tak ada akal!” Kata Abang
Nasrun agak keras terhadap Mak Cik Zah. Mak Cik Zah pula hanya terdiam. Mungkin
terkejut dengan tindakan Abah sebentar tadi yang hampir sahaja menghadiahkannya
sebiji penumbuk. Mungkin juga dia terdiam kerana terkesan dengan kata-kata
pedas Abang Nasrun. Tetapi egonya masih tinggi. Dia tidak terus meminta maaf,
tetapi hanya berlalu pergi begitu sahaja sambil menarik muka tidak puas hati.
“Hah, kamu semua tunggu
apa lagi di sini? Baliklah kalian. Jangan bawa mulut pula pada orang kampung.”
Abang Nasrun tahu emosi Abah dan Emak masih tidak stabil selepas di serang
dengan kata-kata pedas Mak Cik Zah. Pasti Emak dan Abah tidak selesa
dikelilingi oleh orang ramai seperti itu.
Abah terus duduk di
atas kerusi gerai yang berada di belakangnya. Kini hanya tinggal Emak, Abah dan
Abang Nasrun sahaja di gerai itu. Kak Long dan Adik hanya berdiri di pintu
dapur. Mereka hanya berani menjenguk-jenguk sahaja. Dari situ dapat dilihat
abah duduk di kerusi sambil tertunduk memandang tanah, Emak juga duduk di salah
satu kerusi. Sekejap-sekejap Emak mengesat air mata yang laju sahaja mengalir.
Tidak tahulah air mata itu disebabkan apa sebenarnya, mungkin Emak kecewa lagi
dengan perangai Angah yang tidak habis-habis mengundang kemarahan orang
kampung. Abang Nasrun pula berdiri di sisi Abah sambil mengusap-usap belakang
Abah. Buat ketika itu mereka bertiga hanya diam tanpa bicara, sehinggalah
tiba-tiba Abah bertempik.
“Anak tak guna! Tak
habis-habis memalukan keluarga. Asyik nak bergaduh sahaja. Kerja tak mahu. Dia
balik nanti memang nak mati budak tu!” Abah mula naik angin semula, marahnya
pada Angan pula. Kak Long dan Adik mula kecut perut dengan jerkahan Abah.
Seketika kemudian kedengar bunyi motor Angah dari arah jalan. Angah yang tidak
tahu apa-apa terus memberhentikan motor dan dia berjalan ke arah gerai. Sesampainya
dia di depan Abah, Abah terus menerkamnya dan menampar kuat pipi kanan Angah.
“Ya Allah! Abang!”
“Astagfirullahalazim,
Rahim!” Emak dan Abang Nasrun cuba menahan Abah. Abang Nasrun memegang Abah,
Emak pula pergi mendapatkan Angah yng telah tersembam jatuh ke tanah.
“Kau memang tak guna!
Tak habis-habis nak malukan aku. Suka sangat buat hal. Habis semua orang kau
nak cari gaduh kenapa?” Tengking Abah lagi.
“Apa ni Abah? Angah tak
buat apa pun.” Kata Angah yang masih terkejut diserang sebegitu rupa.
“Kau tak buat apa kau
cakap. Kalau kau tak buat apa tak adalah si Zah meroyan tu datang sini tadi.”
Abah tak puas hati Angah buat-buat seperti tidak bersalah. Abah kembali
menerkam Angah. Kolar baju Angah dicekak Abah. “Kau cakap kat aku sekarang
kenapa kau bertumbuk dengan anak Zah tu hah?” Bulat mata Abah merenung mata
Angah.
“Mana ada Angah tumbuk
dia. Kami cuma.. kami cuma bertengkar malam tadi sebab dia tuduh Angah curi
daun ketum Abang Pian.” Angah bela diri.
“Oh kau dah pandai
mencuri pula sekarang ni. Kau nak conteng arang lagi kat muka aku dengan
perangai buruk kau ni hah!” Kemarahan Abah makin memuncak. Tiba-tiba Abah
bangun dan matanya mula melilau-lilau seperti mencari sesuatu. Mata Abah
terpandang parangnya yang tersandar di dinding gerai, di tempat Emak selalu
mengupas kelapa. Abah menerkam parang itu. Emak dan Abang Nasrun mula panik.
Angah juga mula kecut perut. Cepat Abang Nasrun pergi menahan Abah sekali lagi.
“Kau gila ke hah Rahim?
Bawa mengucap banyak-banyak Rahim. Budak tu anak kau tahu tak.” Nasib baik ada
Abang Nasrun. Kalau tinggal Emak, Along dan Adik sahaja di rumah tidak tahulah
bagaimana mereka mahu menahan panas baran Abah.
“Sebab dia anak akulah
biar aku bunuh sahaja budak tak guna ni. Tak habis-habis nak malukan aku dengan
Ani. Aku dah penat nak bela anak macam ni!” Abah mula meronta ingin lepas dari
pegangan Abang Nasrun. Entah syaitan apa yang telah merasuk fikiran waras Abah
sehinggakan dia benar-benar nekad mahu membunuh anak kandungnya sendiri.
“Angah, kau pergi lah
ngah… pergi lari cepat ngah!” Emak menyuruh Angah pergi jauh dari Abah. Jika
biarkan Angah terus disitu entah bila-bila sahaja Abah boleh menetak kepala
Angah.
Angah pun cepat-cepat
berlari dari kawasan rumah, dia menghidupkan enjin motor dan terus berlalu
pergi tanpa arah. Dalam fikirannya Angah hanya terfikir muka Naim, anak Mak Cik
Zah. Pasti Naimlah yang telah menambah-nambah cerita sehingga emaknya yang
bermulut celupar itu datang menyerang Emak dan Abahnya di rumah.
Sejak dari peristiwa
itu, hubungan Abah dan Angah makin renggang. Abah langsung tidak menegur Angah.
Angah pun tidak berani membuka mulut apabila berhadapan dengan Abah. Dia hanya
pulang ke rumah apabila mahu makan dan mandi. Lewat malam baru Angah pulang ke
rumah untuk tidur. Awal-awal pagi lagi dia sudah bangun dan keluar. Kemana dia
pergi, tiada siapa pun tahu. Mungkin hal ini yang menyebabkan Emak keresahan.
Bimbang dengan hubungan suami dan satu-satunya anak teruna mereka itu.
Emak menarik nafas
dalam-dalam dan melepaskannya dengan berat sekali. Emak bangun dan kembali ke
dalam gerai. Menyambung kembali tugasnya. Kebimbangannya dia lupakan dahulu.
Dalam hati Emak berdoa banyak-banyak agar Allah melimpahkan hidayah dan
kebahagiaan kepada keluarganya, jauhkanlah dari segala perkara yang tidak
diingini. Baru sahaja Emak memegang cawan-cawan kotor untuk di basuh, tiba-tiba
kedengaran suara orang kecoh dari dalam gerai. Emak mula rasa terganggu dengan
bunyi itu kerana kedengaran orang menyebut-nyebut nama Angah. Emak ke depan.
Kelihatan Abang
Nasrun sedang berdiri dan dihadapannya ada Abah dan Pak Sani. Ketiga-tiga
mereka kelihatan terkejut.
“Abang, kenapa
ni?” tanya Emak pada Abah.
Abah berpaling
memandang Emak, “Angah…” Mendengar sahaja sepotong ayat itu, Emak mula rasa
hendak pengsan. Pandangannya mula gelap dan makin gelap.
Malam itu selepas
mengisi minyak Angah bercadang ingin terus pulang kerana jam sudah melebihi 12
tengah malam. Sebelum keluar tadi dia berjanji dengan Emak ingin pulang awal
kerana esok pagi Emak mengajaknya ke pasar untuk membeli barang gerai. Tetapi
sesudah Angah mengisi minyak dua orang rakannya datang menyapa. Rasanya sudah
lama benar mereka tidak berjumpa kerana dua orang rakannya itu bekerja di Johor
Bharu selepas tamat SPM dahulu. Setelah bertanya khabar mereka pun mengajak
Angah minum sambil berborak di kedai kopi tepi station minyak itu.
“Fiq, kau tak nak
ke cari kerja kat luar? Duduk kat kampung pun apa sahaja yang kau boleh buat?
Gaji pun tak seberapa.” Ujar Ammar.
“Haah Fiq. Sampai
bila kau nak jadi samseng kampung je? Dulu masa sekolah boleh lah kau jadi
samseng. Sekarang kalau kau nak jadi samseng kampung lagi alamat tak majulah
hidup kau. Silap hari bulan, tak kahwin kau tahu tak. Mana ada perempuan nak
lelaki tak bekerja.” Haziq menambah. Sengaja dia berseloroh tentang masa silam
mereka dahulu. Siapa sahaja warga Sekolah Menengah Perang Kiri yang tidak tahu
akan Syafiq. Pelajar paling bermasalah dan sering dipanggil namanya apabila
perhimpunan pagi Isnin.
Angah ketawa.
Tidak tersinggung dengan seloroh Ammar dan Haziq kerana memang betul kata
mereka. Itulah perangainya dahulu. “
“Aku memang nak
merantau. Aku pun dah penat orang tuduh aku ni samseng kampung. Kesalahan yang
aku tak buat pun mereka tuduh aku. Sampai Emak, Abah aku dapat susah.” Riak
muka Angah terserlah penyesalannya. Sungguh, sudah lama dia tidak buat perangai
buruknya yang dulu. Semuanya bermula setelah dia terdengar Emak berdoa pada
suatu malam.
Malam itu dia
pulang sangat lewat, kalau tidak silap lebih kurang jam tiga pagi. Angah tidak
perasan Emaknya tidak tidur lagi, dan sedang berteleku di atas sejadah, di
sudut ruang tamu. Emak juga tidak perasan akan kepulangan Angah kerana Angah
pun tidak membuat bising. Emak sedang khusyuk berdoa. Emak memulakan doanya
dengan zikir-zikir dan selawat. Angah duduk di atas sofa sambil memandang Emak.
Kedudukannya agak terlindung dan Emak tidak perasan akan kehadirannya. Tidak
tahu mengapa malam itu hatinya tergerak untuk melihat Emak berdoa. Dalam doa
Emak banyak kali menyebut namanya. Emak memohon agar Allah melindungi dirinya
dari melakukan perkara-perkara yang terlarang. Emak juga memohon agar Allah
mengurniakannya Hidayah dan petunjuk. Saat air mata Emak mengalir ketika
mengadu akan perangai buruknya, hati Angah jadi sebak. Dia berasa amat bersalah
pada Emak kerana telah banyak memalukan orang tuanya itu. Pasti banyak
kepayahan yang Emak terpaksa tanggung akibat kelakuannya. Sejak malam itu Angah
mula insaf dan tanpa pengetahuan orang tuanya Angah mula belajar mengaji dari
seorang Ustaz Sekolah Tahfiz di kampung jiran. Sengaja dia tidak mahu belajar
di masjid kampungnya kerana dia tahu, pasti ada sahaja orang akan
memperlekehkan perbuatannya itu hanya kerana perangai lampaunya dahulu.
Hampir sejam mereka bertiga berborak di gerai itu. Angah kemudiannya
meminta diri apabila tersedar jarum jam menunjukkan jam 1:30 pagi. Mereka
bersalaman dan Angah sempat menjemput mereka ke gerai Emaknya esok petang.
Angah berjanji ingin belanja mereka pula esok petang di gerai Emaknya. Setelah
memberi Salam, Angah berlalu ke motornya.
Sebelum
menghidupkan enjin motor, sekali lagi Angah melihat jam tangannya. Tepat 1:40
pagi. Pasti Emaknya sedang menunggu kepulangannya. Dalam fikiran Angah dia
hanya terfikir akan Emaknya. Bukan dia tidak biasa pulang lewat, tetapi kali
ini dia sudah berjanji ingin pulang awal pada Emak. Bersungguh dia berjanji
sebelum keluar rumah tadi. Dia harus pulang dengan segera agar Emak tidak
risau.
Angah menghidupkan
enjin dan apabila sampai di simpang empat tidak jauh dari gerai dia berborak
dengan rakannya tadi dia memperlahankan motorsikalnya. Lampu isyarat jalan
besar itu memang sudah rosak tiga hari lepas. Apabila sudah pasti tiada
kenderaan dari arah berlawanan Angah pun membelok ke kanan. Tidak perasan akan
seketul batu di atas jalan, Angah terlanggar batu tersebut dan dia hilang
imbangan lalu terjatuh. Jatuhnya tidaklah begitu kuat mungkin kerana dia tidak
menunggang dengan laju. Tetapi disebabkan kakinya tertindih dengan
motorsikalnya, Angah mengambil masa untuk bangun semula.
Sedang Angah
terkial-kial ingin bangun tiba-tiba lampu yang terang dan besar menyuluhnya
dari arah berlawanan jalan. Angah tergamam. Cahaya itu makin menghampiri
berserta bunyi hon yang panjang dan kuat. Kaki Angah masih tertindih di bawah
motor yang terasanya amat berat sekali. Dalam hati Angah hanya mengucap panjang
dan apabila lampu itu benar-benar berada di depannya hanya wajah Emak dalam
fikiran Angah.
“Makkkkkkk!!!”
Lalu semuanya gelap. Tiada lagi cahaya yang menyuluh, tiada lagi rasa berat
motor yang menindih kakinya dan tiada lagi wajah bersih Emak.
Sudah dua hari
Angah meninggal dunia. Sudah dua hari juga gerai tak di buka. Mereka sekeluarga
masih lagi terkejut dengan pemergian Angah itu. Hilangnya tiada pengganti.
Dialah satu-satunya anak lelaki Pak Rahim dan Cik Ani. Dialah juga satu-satunya
adik lelaki untuk Along dan abang lelaki untuk adik. Omey juga sudah tak
bertuan. Tiada lagi orang yang akan memanjakannya. Emak teringat akan perubahan
perangai Angah sebelum dia meninggal.
Biasanya Angah
tidak ingin keluar dengan kakak dan adiknya jika tidak ditemani oleh Emak dan
Abah juga. Tetapi selasa lepas, Angah sendiri yang mengajak Along dan Adik
keluar ke pasar malam bersama. Mungkin dia dapat merasa itulah kali terakhir
dia dapat meluangkan masa dengan adik beradiknya.
Emak duduk di atas
katil yang biasa menjadi tempat tidur Angah. Rindu Emak pada Angah memang tidak
tertanggung. Walaupun baru dua hari tetapi pemergian yang mengejut betul-betul
buat Emak nanar. Di tangan Emak terdapat sebuah kotak yang berbungkus cantik.
Emak memandang kotak tersebut. Sebenarnya Emak sengaja mengajak Angah
menemannya ke pasar kerana Emak ingin membuat kejutan awal ulang tahun kelahiran
Angah. Namun, kejutan yang Angah beri lebih dari kejutannya. Kotak tersebut
adalah hadiah ulang tahun kelahiran Angah yang sepatutnya disambut pada hari
ini.
“Emak Redha Angah
pergi dahulu. Berehatlah di sana. Emak halalkan semua yang Emak bagi pada Angah.”
Air mata Emak mula gugur.
“Emak dah tahu
semua yang Angah buat dengan Ustaz Ali. Mak Cik Zah pun dah mengaku akan
kesalahan anak dia. Emak bangga dengan Angah. Selamat ulang tahun sayang.” Air
mata Emak gugur dengan laju sekali. Biarlah Emak menangis puas-puas sekarang,
agar tiada lagi air mata atas pemergian Angah di kemudian hari.
-TAMAT-
No comments:
Post a Comment