Nama
Penulis: Nor Azizah binti Mohd Thani
Entah kenapa malam
ini Emak seperti tidak rasa tenang. Ada sahaja kesalahan yang dilakukannya dari
tadi. Baru sebentar tadi, Emak tersalah membancuh air untuk Pak Sani. Sedangkan
bukan Emak tidak biasa Pak Sani yang merupakan pelanggan tetap gerai ini pasti
akan memesan kopi o. Minuman itu sememangnya minuman kegemarannya seperti
orang-orang tua yang lain juga.
Setelah siap mengemas
meja dan mengangkat pinggan dan cawan di hujung gerai, Emak ke belakang gerai
sebentar. Sementara Along ada di gerai bolehlah Emak duduk sebentar. Baru
sekarang terasa lenguh dari pangkal paha hingga tapak kaki kerana tidak
berkesempatan duduk dari tadi. Biasanya apabila sudah lepas waktu Isya’ hingga
tengah malam ramai pelanggan yang datang ke gerai. Rata-ratanya pelanggan yang
datang adalah orang-orang yang baru pulang dari masjid kampung mereka. Antara
pelanggan tetap gerai ini adalah Pak Sani, Tok Imam dan Pak Usop.
Emak duduk di atas
kerusi yang memang berada di belakang gerai. Dia bersandar di dinding gerai,
melepaskan lelah di situ. Air muka Emak seperti tersirat 1001 keresahan yang
Emak sendiri tidak tahu mengapa. Sejak dua tiga hari ini ada sahaja yang Emak
tersalah buat. Semalam Emak terlupa membuat Mee Goreng yang dipesan Pak Usop,
hari ini Emak tersalah membancuh air untuk Pak Sani pula. Along juga ada
menegur Emak sering kelihatan termenung kebelakangan ini. Emak juga tidak tahu
apa yang difikirnya, yang pasti Emak rasa tidak tenang seperti ada sesuatu yang
buruk akan berlaku.
Dua minggu yang lepas
Emak ada bermimpi gigi depannya tercabut. Dalam mimpi itu dia terjatuh di depan
pintu dan gigi depannya tercabut kerana terkena bucu dinding. Kata orang jika
bermimpi gigi tercabut maksudnya ada orang nak meninggal dunia. Nauzzubillah…
mengucap panjang Emak apabila memikirkan tentang hal itu.
“Emak“. Panggil Along
dari arah depan gerai. Sesaat kemudian muncul Along sambil memegang dua buah
gelas di tangannya.
“Laaa kat sini rupanya.
Emak buat apa seorang diri kat luar ni?” tanya Along lagi.
“Tak ada apa. Saja nak
duduk. Rasa lenguh kaki ni dari tadi tak dapat duduk. Kenapa panggil Mak? Ada
orang pesan apa-apa ke?” Emak pantas
menyembunyikan keresahannya dari Along, takut-takut kalau Along perasan
akan keresahan di hatinya.
“Ada orang nak Mee
Goreng. Tapi tak apa lah. Along saja lah yang masak. Mak rehat ye. Mak nak
minum apa-apa? Along bancuhkan.”
“Ha boleh juga.
Bancuhkan Mak air kopi Kacip Fatimah tu Long. Dah lama rasanya Mak tak rasa air
kau bancuh Long.” Emak sengaja berseloroh. Bagus juga idea Along itu. Kaki Emak
juga masih terasa lenguh dan dia juga mahu duduk berehat di situ lagi. Along
pun masuk semula ke dalam gerai meninggalkan Emak. “Kasihan Emak. Pasti Emak letih
dari tadi berdiri. Malam ini pun pelanggan agak ramai dari semalam, walaupun
langit gelap seperti mahu hujan saja.” Bicara Along dalam hati.