Selamat Datang & Salam Perkenalan

Monday 30 May 2016

Cerpen : ANGAH

Nama Penulis: Nor Azizah binti Mohd Thani

Entah kenapa malam ini Emak seperti tidak rasa tenang. Ada sahaja kesalahan yang dilakukannya dari tadi. Baru sebentar tadi, Emak tersalah membancuh air untuk Pak Sani. Sedangkan bukan Emak tidak biasa Pak Sani yang merupakan pelanggan tetap gerai ini pasti akan memesan kopi o. Minuman itu sememangnya minuman kegemarannya seperti orang-orang tua yang lain juga.

            Setelah siap mengemas meja dan mengangkat pinggan dan cawan di hujung gerai, Emak ke belakang gerai sebentar. Sementara Along ada di gerai bolehlah Emak duduk sebentar. Baru sekarang terasa lenguh dari pangkal paha hingga tapak kaki kerana tidak berkesempatan duduk dari tadi. Biasanya apabila sudah lepas waktu Isya’ hingga tengah malam ramai pelanggan yang datang ke gerai. Rata-ratanya pelanggan yang datang adalah orang-orang yang baru pulang dari masjid kampung mereka. Antara pelanggan tetap gerai ini adalah Pak Sani, Tok Imam dan Pak Usop.

            Emak duduk di atas kerusi yang memang berada di belakang gerai. Dia bersandar di dinding gerai, melepaskan lelah di situ. Air muka Emak seperti tersirat 1001 keresahan yang Emak sendiri tidak tahu mengapa. Sejak dua tiga hari ini ada sahaja yang Emak tersalah buat. Semalam Emak terlupa membuat Mee Goreng yang dipesan Pak Usop, hari ini Emak tersalah membancuh air untuk Pak Sani pula. Along juga ada menegur Emak sering kelihatan termenung kebelakangan ini. Emak juga tidak tahu apa yang difikirnya, yang pasti Emak rasa tidak tenang seperti ada sesuatu yang buruk akan berlaku.

            Dua minggu yang lepas Emak ada bermimpi gigi depannya tercabut. Dalam mimpi itu dia terjatuh di depan pintu dan gigi depannya tercabut kerana terkena bucu dinding. Kata orang jika bermimpi gigi tercabut maksudnya ada orang nak meninggal dunia. Nauzzubillah… mengucap panjang Emak apabila memikirkan tentang hal itu.

            “Emak“. Panggil Along dari arah depan gerai. Sesaat kemudian muncul Along sambil memegang dua buah gelas di tangannya.

            “Laaa kat sini rupanya. Emak buat apa seorang diri kat luar ni?” tanya Along lagi.

            “Tak ada apa. Saja nak duduk. Rasa lenguh kaki ni dari tadi tak dapat duduk. Kenapa panggil Mak? Ada orang pesan apa-apa ke?” Emak pantas  menyembunyikan keresahannya dari Along, takut-takut kalau Along perasan akan keresahan di hatinya.

            “Ada orang nak Mee Goreng. Tapi tak apa lah. Along saja lah yang masak. Mak rehat ye. Mak nak minum apa-apa? Along bancuhkan.”

            “Ha boleh juga. Bancuhkan Mak air kopi Kacip Fatimah tu Long. Dah lama rasanya Mak tak rasa air kau bancuh Long.” Emak sengaja berseloroh. Bagus juga idea Along itu. Kaki Emak juga masih terasa lenguh dan dia juga mahu duduk berehat di situ lagi. Along pun masuk semula ke dalam gerai meninggalkan Emak. “Kasihan Emak. Pasti Emak letih dari tadi berdiri. Malam ini pun pelanggan agak ramai dari semalam, walaupun langit gelap seperti mahu hujan saja.” Bicara Along dalam hati.

Jumlah Pengunjung